Pendahuluan
Karya sastera berperanan dalam membentuk suatu pemikiran yang baik untuk membentuk umat yang berjaya. Karya-karya warisan tamadun Melayu yang kaya dengan budaya dan adab dapat mendidik insan dengan sempurna. Karya sastera bukan sahaja mengandungi kata-kata yang cantik dan menarik serta indah, tetapi juga mengandungi pemikiran berkenaan budaya dan tamadun bangsa. Menurut S. Othman Kelantan:
“TRADISI bersastera secara berencana bermula dari istana raja-raja Melayu. Karya sastera dari istana memancarkan keagungan peradaban dan tamadun bangsa Melayu.
Istana merupakan pusat tertinggi dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Melayu.Istana menggambarkan cita rasa bangsa Melayu melalui raja-rajanya yang adil dan para intelektual Melayu yang berkeupayaan tinggi menyokong pentadbiran dengan bijaksana.Sejak lebih 600 tahun yang lalu, sastera berencana berkembang memperlihatkan keagungan tamadun dan peradaban Melayu, seperti yang terkandung dalam Magnum Opus Melayu yang terkenal iaitu Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.Diikuti oleh pelbagai karya agung seperti Misa Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Pahang, Hikayat Johor, Hikayat Patani,Hikayat Aceh dan puluhan lagi.Tidak dinafikan, sebelum atau seiring dengan karya sastera istana, sudah ada karya sastera lisan yang berkembang di kalangan rakyat.Bentuk karya yang sangat nyata ialah cerita penglipur lara, yang juga memfokuskan kegemilangan istana seperti Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Raja Donan, Hikayat Indera Putera, Hikayat Si Miskin dan puluhan lagi, yang memperlihatkan keupayaan dan pemikiran para pengarangnya.”
Kanun bermula dengan membawa maksud yang cukup sederhana, iaitu “karya yang tegak atau lurus” Ungku Maimunah,2006,344) . Kanun merangkumi karya lama dan baru yang bermutu merangkumi segala khazanah yang tidak dapat dipisahkan oleh waktu atau unsur penzamanan. Karya kanun dapat ditakrifkan sebagai karya yang telah mencetuskan bentuk seni yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup yang kesannya kekal dalam ingatan bangsa Melayu sepanjang zaman. Karya-karya ini mengandungi dan memiliki idealisme , falsafah dan kandungan akal rasa yang tersangat jelas , yang boleh membawa pembaca atau khalayak atau masyarakatnya ke masa depan dengan segala kebijaksanaan. Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Merong Mahangwangsa,dan Tuhfat al Nafis antara beberapa karya kanun yang sering mendapat perhatian sarjana-sarjana barat dan tempatan untuk dibuat kajian akan kekuatannya sebagai karya agung.
Karya agung mampu membentuk warisan budaya bangsa, karya yang berjaya mencetuskan falsafah dan nilai hidup yang tinggi, yang tahan zaman, yang menjadi acuan atau rujukan generasi kemudian(Hassan Ahmad, 1996,5).
No comments:
Post a Comment